Muhammad di dalam Alkitab?

 

Tidakkah Kitab Suci orang Kristian meramalkan kedatangan Nabi Muhammad?

Muhammad mengajar bahawa kedatangannya telah dinyatakan oleh kitab-kitab yang lebih awal. Dia mengharapkan orang Kristian dan Yahudi untuk menerimanya sebagai nabi baru yang memenuhi kesemua ramalan yang ada dalam kitab-kitab suci mereka. Apabila mereka menolaknya, Muhammad bertindak dengan berkata bahawa mereka telah mengubah tulisan suci mereka.

Di antara orang-orang Yahudi ada pendengar-pendengar perkataan bohong, pendengar-pendengar untuk kaum lain yang tidak datang kepada engkau (ya Muhammad). Mereka telah mengubah perkataan dari pada tempatnya. (Surah Al-Maa-Idah 5:41)

Orang Muslim biasanya mengungkapkan kata-kata Allah kepada Musa dalam Ulangan 18:18-19 sebagai ayat penyokong kepada soalan yang sedang kita bahaskan:

Aku akan mengutus seorang nabi kepada mereka, nabi seperti engkau, dan yang daripada bangsa mereka sendiri. Aku akan menyampaikan firman-Ku kepadanya, dan dia akan menyampaikan segala perintah-Ku kepada umat itu.

Orang Islam percaya bahawa "nabi" yang disebutkan dalam petikan di atas ialah Muhammad. Ahli-ahli tafsir Islam merujuk kepada ayat berikut sebagai ayat penyokong:

Seorang saksi dari Bani Israil, telah mengakui (kebenaran) yang seumpamanya. (Surah Al-Ahqaaf 46:10)

Ulangan 18:18-19 telah diberi oleh Allah kepada Musa dalam Taurat dan menurut Injil, janji ini telah dipenuhi dengan kedatangan Isa Al-Masih enam ratus tahun sebelum Al-Quran ditulis. Ini disahkan dalam Kisah Para Rasul 3:18-23 yang berkata:

Dahulu kala melalui semua nabi, Allah memberitahu bahawa Penyelamat yang diutus-Nya harus menderita. Demikianlah perkara itu berlaku seperti yang dikehendaki-Nya. . . Tuhan akan menyuruh Isa Al-Masih datang kepada saudara-saudara, kerana dia sudah ditetapkan oleh Tuhan menjadi Penyelamat saudara-saudara. Dia harus tinggal di syurga sehingga tiba masanya bagi Allah menjadikan semuanya baru, seperti yang difirmankan oleh Allah melalui nabi-nabi-Nya yang suci pada zaman dahulu. Musa pernah berkata, ‘Tuhan, Allah kamu akan mengutus seorang nabi kepada kamu seperti Dia mengutus aku. Nabi itu akan datang daripada bangsa kamu sendiri. Kamu harus mendengar semua yang dikatakannya. Sesiapa yang tidak mahu mentaati kata-kata nabi itu, akan disingkirkan daripada umat Allah dan dibinasakan.’

 

Stefanus mengulangi janji ini dalam khutbahnya sebelum dia mati syahid (Kisah Para Rasul 7:37).Jadi, rasul Petrus dan Stefanus mengakui bahawa Ulangan 18:18-19 merujuk secara khusus kepada Isa Al-Masih, seorang berbangsa Yahudi, "yang daripada bangsa mereka sendiri". Mustahil ayat ini merujuk kepada Muhammad kerana dia seorang berbangsa Arab dari keturunan Ismail.

Di dalam Injil, ada beberapa ayat di mana orang Yahudi memanggil Isa Al-Masih "Nabi"

Akhir kata, kenabian seseorang tidak hanya bergantung hanya kepada ramalan-ramalan tentang nabi itu tetapi atas sifat dan perbuatannya. Melalui perbuatan-perbuatannya yang ajaib, pengikut-pengikut Isa Al-Masih dapat lihat bahawa dia adalah nabi yang telah dinyatakan dalam Kitab Suci.

 

Bukankah perkataan Yunani "Paracletos" dalam Injil satu rujukan kepada Muhammad?

Di dalam petikan-petikan berikut, Isa Al-Masih berjanji untuk menghantar seorang Penghibur. Orang Muslim mengambil janji-janji ini sebagai ramalan Isa Al-Masih tentang kedatangan Muhammad.

Aku akan mohon kepada Bapa dan Bapa akan memberi Penolong lain, yang akan bersama-sama kamu selama-lamanya. (Yahya 14:16)

Aku akan mengutus Penolong yang berasal daripada Bapa kepada kamu. Dia Roh yang akan menunjukkan apa yang benar tentang Allah. Apabila dia datang, dia akan memberi kesaksian tentang aku. (Yahya 15:26)

Tetapi apa yang aku katakan kepada kamu benar: Untuk kebaikan kamu, lebih baik aku pergi. Jika aku tidak pergi, Penolong itu tidak akan datang kepada kamu. Tetapi jika aku pergi, aku akan mengutus dia kepada kamu. (Yahya 16:7)

Kesimpulan ini dibuat ialah kerana pakar-pakar agama Islam mengajar bahawa perkataan Yunani paracletos (yang diterjemahkan Penolong) sebenarnya satu pengubahsuaian perkataan Yunani periclytos. Paracletos bermaksud seorang pembela, pembantu atau penghibur atau secara literal "orang yang dipanggil ke sisi untuk menolong." Menurut pakar-pakar agama Islam, perkataan periclytos yang apabila diterjemahkan ke dalam bahasa Arab boleh diterjemahkan sebagai Ahmad, yang bermaksud "Dia yang terpuji", iaitu nama untuk nabi Muhammad. Walaupun begitu, kalau senarai kata-kata Yunani diperiksa, kita akan dapati bahawa perkataan periclytos tidak pernah wujud dalam bahasa Yunani Perjanjian Baru! Perkataan ini sebenarnya satu pengubahsuaian perkataan Yunani kleos yang bermaksud "mulia" atau "puji".

Jika kita membaca konteks Yahya 14:16, dengan cepat kita akan melihat bahawa Penolong yang disebut di sini ialah "Roh kebenaran" (ayat 17) atau "Roh Kudus (ayat 26). Hal ini sama untuk Yahya 15:26 dan 16:7 apabila dibaca dalam konteksnya. Roh Kebenaran ini bukan satu manusia tetapi Roh yang dikirimkan oleh Isa Al-Masih melalui Allah setelah dia bangkit dari kematian. Seperti yang tertulis tentang Roh ini: Dia akan diam bersama kamu dan akan berada di dalam kamu (Yahya 14:17).

Orang Muslim percaya bahawa "paracletos" itu merujuk kepada Muhammad kerana tafsiran ayat berikut dari Al-Quran:

Ingatlah, ketika Isa anak Maryam berkata: hai Bani Israil, sesungguhnya aku rasul Allah kepadamu, serta membenarkan apa yang sebelumku, iaitu Taurat dan memberi khabar gembira dengan seorang rasul, yang akan datang kemudianku, namanya Ahmad (Muhammad). (Surah Ash-Shaf 61:6)

Petikan ini mengesahkan bahawa Isa Al-Masih ialah rasul kepada bani Israil yang mengesahkan Taurat Musa. Ini secara tidak langsung juga mengesahkan Isa Al-Masih sebagai nabi yang dijanjikan dalam Ulangan 18:18-19.

"Rasul", yang bermaksud "dia yang diutus" dalam surah ini, menurut Injil Yahya bab 14 hingga 16, ialah Roh Allah dan bukan manusia bernama Muhammad. Yusuf Ali dalam huraiannya akan surah ini mengaku bahawa perkataan Yunani asal dalam Injil Yahya itu mungkin sekali "paracletos" dan bukan "periclytos". Pandangan seorang pakar agama seperti Yusuf Ali menampilkan kelemahan teori periclytos yang diheboh-hebohkan selama ini.

Satu daripada kelemahan Islam ialah ketidakupayaannya menerima penyataan Allah dalam Roh Kudus. Allah dalam Islam hanya boleh menyatakan dirinya melalui orang tengah, sama ada malaikat atau nabi dan rasul. Kebanyakan pakar agama Islam mengajar bahawa Roh Kudus adalah malaikat Jibrail. Dalam kes "paracletos" mereka telah berusaha melarikan diri dari konteks asal dengan tujuan menjadikan ayat-ayat ini satu ramalan tentang kedatangan Muhammad. Apa yang dijanjikan dan dinubuatkan oleh hazrat Isa Al-Masih sebenarnya sesuatu yang jauh lebih mulia, iaitu kedatangan Roh Allah Sendiri yang suci dan murni.


Indeks Utama